Minggu, 08 Mei 2011

Hayatul Anbiya` - Fatwa al-Baarizi

Imamul Fuqaha`, Syaikhul Islam, Syarafuddin, HibatUllah bin 'Abdur Rahim bin Ibrahim al-Baarizi adalah seorang ulama terkemuka bermazhab Syafi`i. Beliau dilahirkan di Hamah pada 27 Ramadhan 645H dan dibesarkan dalam keluarga ilmuwan. Ayahanda beliau, Abdur Rahim digelar sebagai Najmuddin, adalah seorang qadhi. Begitulah juga dengan datuk beliau, Ibrahim yang diberi gelaran Syamsuddin. Pendidikan awalnya diperolehi daripada ayah dan datuknya tersebut. Kemudian, beliau turut belajar dengan ramai ulama terkemuka, antaranya Syaikhul 'Iraq Abil 'Abbas Ahmad bin Ibrahim al-Faarutsi, al-Muhaddits Ibrahim bin 'Abdullah al-Armuni, al-Muhaddits Muhammad bin 'Abdul Mun`im, Syaikhul Qurra` Muhammad bin Ayyub al-Tadzafi dan Hujjatul 'Arab Muhammad bin 'Abdullah bin Malik ath-Tho-ie.

Imam al-Baarizi menekuni jalan ilmu dan menyebarkannya. Kealiman beliau diakui umat sezaman dengannya dan ramai pelajar datang untuk belajar dengan beliau. Di antara murid beliau ialah Qadhi Qudhah Ismail bin Muhammad al-Lakhmi an-Andalusi al-Maliki, al-Faqih Muhammad bin Muhammad al-Maushili, Syaikh 'Umar bin Ibrahim al-'Ajmi al-Halabi, al-Hafiz al-Barzali, al-Hafiz adz-Dzahabi, al-Mu`arrikh Ibnul Wardi, Imam Taqiyuddin as-Subki dan ramai lagi. Bahkan menurut Imam Ibnu Hajal al-`Asqalani, Imam as-Sakhawi pernah mengutus beberapa pertanyaan kepada Imam al-Baarizi dan beliau telah memberikan jawapannya yang kemudiannya dicatat oleh Imam as-Sakhawi dalam karya-karya beliau.

Pada tahun 675H, Imam al-Baarizi telah dilantik menjadi qadhi Hamah., jawatan yang dipegangnya selama 40 tahun. Tugas sebagai qadhi dilaksanakannya dengan menuruti sunnah Junjungan Nabi SAW dengan penuh amanah dan adil. Beliau menolak upah atau gaji yang diberikan kepadanya sebagai seorang qadhi dan memilih untuk hidup zuhud dengan menjauhi segala perhiasan duniawi. Beliau mempunyai kegemaran membaca dan mengumpul berbagai jenis kitab, bahkan dikatakan bahawa tiada siapa yang memiliki koleksi kitab sepertinya. Setelah beliau wafat, kitab-kitabnya diwakafkan bagi penuntut ilmu dan dianggarkan nilainya berjumlah 100,000 dirham.

Imam al-Baarizi meninggalkan banyak karya tulis dalam bidang fiqh, tauhid, hadits, qiraah dan sebagainya. Qadhi Safadi Syamsuddin Muhammad bin 'Abdur Rahman al-'Uthmani dalam tabaqatnya menyebut bahawa Imam al-Baarizi menulis lebih dari 70 buah kitab. Di antara karya beliau adalah:-
  1. al-Asas fi Ma'rifah Ilahin Naas;
  2. Badi`ul Qur`an;
  3. Asrarut Tanzil;
  4. an-Nasikh wal Mansukh;
  5. al-Bustan fi Tafsiril Qur`an;
  6. al-Faaridah al-Baariziyyah fi Syarhi asy-Syathibiyyah;
  7. Tautsiqu 'Ural Imaan fi Tafdhil Habibir Rahman;
  8. al-Wafa` fi Ahaditsil Musthofa;
  9. al-Mujarrad minal Musnad;
  10. at-Tamyiz;
  11. Nadzam al-Hawi ash-Shoghir;
  12. Syarah al-Hawi ash-Shoghir.
Imam al-Baarizi dikurniakan umur yang panjang lagi berkat. Beliau wafat pada malam Rabu tanggal 20 haribulan Dzul Qa`idah, 738H dalam usia 93 tahun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya sepanjang masa dan ketika. .... al-Fatihah.

Imam al-Baarazi rahimahUllah telah ditanyai berhubung Junjungan Nabi SAW, samada baginda hidup (yakni dengan kehidupan barzakhiyyah) selepas kewafatan baginda. Beliau menjawab soalan tersebut dengan katanya:-

Sesungguhnya baginda SAW itu hidup (yakni dengan kehidupan barzakhiyyah yang sempurna). Telah berkata al-Ustaz Abu Manshur 'Abdul Qaahir bin Thohir al-Baghdaadi, seorang yang faqih lagi ahli ushul, syaikhnya para pengikut mazhab asy-Syafi`iyyah: "Ulama ahli kalam yang benar daripada kalangan sahabat kami (yakni daripada kalangan ulama asy-Syafi`iyyah) berpendapat bahawa Junjungan Nabi kita SAW hidup selepas kewafatan baginda, baginda bergembira dengan ketaatan umatnya dan bersedih dengan maksiat yang dilakukan oleh para penderhaka daripada kalangan umatnya. Bahawasanya disampaikan kepada baginda akan sholawat yang diucapkan kepada baginda oleh umatnya. Sesungguhnya para nabi itu (yakni jasad mereka) tidak punah binasa dan tidak sedikit pun dimakan tanah. Nabi Musa AS telah wafat pada zamannya dan Junjungan Nabi SAW telah mengkhabarkan yang baginda sesungguhnya telah melihatnya di dalam kuburnya menunaikan sholat. Disebut dalam hadits mi'raj bahawa Junjungan Nabi SAW melihat Nabi Musa AS di langit ke-4, baginda juga melihat Nabi Adam AS di langit dunia dan melihat Nabi Ibrahim yang mengucapkan "Selamat datang, wahai anak dan nabi yang sholeh" kepada baginda. Maka bersandarkan kepada asas yang shohih kami menyatakan bahawa Junjungan Nabi kita Muhammad SAW adalah hidup setelah kewafatan baginda dan tetaplah baginda atas maqam kenabiannya. " - tamat perkataan al-Ustaz. Telah berkata al-Hafiz, Syaikhus Sunnah Abu Bakar al-Baihaqi dalam kitab "al-I'tiqad":- "Para nabi 'alaihimus sholatu was salam setelah diwafatkan, dikembalikan roh mereka dan adalah mereka di sisi Tuhan seperti orang-orang yang mati syahid. Junjungan Nabi SAW telah melihat sebahagian daripada mereka dan baginda telah mengimamkan mereka dalam sembahyang. Telah diberitakan daripada riwayat yang benar bahawasanya sholawat kita dibentangkan kepada baginda dan salam kita disampaikan kepadanya. Sesungguhnya Allah ta`ala telah mengharamkan bumi dari memakan jasad para nabi. Kami telah menulis satu kitab yang khusus bagi mentsabitkan kehidupan mereka (setelah wafat)......"
Oleh itu, janganlah pula kita yang mematikan hubungan kita dengan Junjungan Nabi SAW. Berusahalah agar baginda sentiasa hidup dalam diri, hati dan jiwa kita sentiasa. Biarlah berderai air mata kita tatkala mengucapkan salam dan sholawat atas baginda, kerana pasti ianya diketahui dan disampaikan kepada baginda dan percayalah baginda pasti akan membalas kebaikan dengan kebaikan. Baginda terlalu mulia dan tinggi untuk melupai kebaikan seseorang walaupun kebaikan itu sebenarnya tiada nilai sekupang pun. Syafaat ... Syafaat Ya RasulAllah.

Tidak ada komentar:

"MAJELIS RASULULLAH SAW"

"MAJELIS RASULULLAH SAW"









"PERADABAN BARU ISLAM (FITRAH MANUSIA)"

Seaching Blog